Datuk James Ratib
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib memberitahu bahawa sebanyak 112 klinik daif di Sabah perlu dinaiktaraf pada tahun 2026.
Dalam pada masa yang sama, katanya, sebanyak 48 buah klinik daif perlu melalui proses roboh dan bina baru.
Menurut beliau, pada tahun ini, sebanyak 25 buah klinik yang terlibat dengan bina baru dan dijangka siap pada bulan ini November dengan anggaran kos berjumlah RM18.8 juta.
“Selain daripada itu, sebanyak 33 buah klinik terlibat dengan naik taraf pembaikan (sistem pendawaian) dan telah siap sepenuhnya dengan anggaran kos RM2.7 juta.
“Sebanyak 14 buah klinik pula yang terlibat dengan naik taraf bangunan dengan jumlah anggaran kos RM10 juta,” katanya.
James yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata demikian dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, berhubung dengan status pembinaan semula Klinik Tangkarason, Paitan yang musnah dalam kebakaran sebelum ini, katanya, bangunan klinik telah mencapai 88% siap.
“Anggaran kos bangunan klinik ialah RM990,000, dan ia dijangka siap pada 30 November 2024.
“Peralatan perubatan dan bukan perubatan juga telah dibekalkan ke klinik dengan anggaran kos berjumlah RM450,000.
“Bangunan kuarters berkembar akan mula dibina tahun 2025 dengan anggaran kos RM500,000,” jelas beliau.