Ketibaan Datuk Jonathan (tiga kanan) bersama rombongan disambut mesra oleh penduduk Kg.Maringkan.
RANAU: Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin menyeru rakyat akar umbi agar terus memberi sokongan kepada kepimpinan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Sabah untuk menikmati arus pembangunan yang mampan secara berterusan.
Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau, menyarankan kepada rakyat supaya mengekalkan perpaduan, persaudaraan dan permuafakatan sedia terjalin untuk memudahkan kerajaan dan agensinya menyalur dan melaksanakan projek-projek pembangunan untuk dinikmati rakyat tanpa membezakan suku kaum, agama, budaya dan idologi politik.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat (PBR) di Dewan Mini Kg.Maringkan Ranau baru-baru ini.
Sempena majlis itu Jonathan meluluskan dana RM50 ribu untuk pembinaan bangunan baharu Tadika Kg.Maringkan dan RM25 ribu lagi untuk membiayai kos penyelenggaraan jalan ke kawasan pertanian kampung berkenaan.
Jonathan memaklumkan, pihaknya juga akan berusaha untuk mendapatkan kos bagi membiayai pembaikan jalan bukit menuju Gereja RC St. Edwin Maringkan.
“Saya akan berusaha untuk mendapatkan dana secukupnya demi kemudahan penduduk di sini”, jelas Datuk Jonathan.
Menurutnya lagi, banyak program pembangunan kerajaan pusat telah dan akan dilaksanakan membawa impak positif membantu komuniti setempat.
Jonathan yang meletakkan slogannya ‘Pejuang Rakyat’, telah banyak membantu golongan tidak berkemampuan termasuklah Ibu Tunggal, Keluarga Daif, Anak Yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU), Warga Emas, Orang Sakit, Khairat Kematian dan banyak lagi.
“Kita ikhas membantu mereka semua termasuk membayar kos pesakit warga Ranau yang ditahan dalam Wad Hospital daerah dan kos kepada pesakit yang ada ‘Janji Temu’ rawatan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu”, tambah Datuk Jonathan.
Turut diadakan sempena majlis itu ialah, Persidangan Cawangan ahli-ahli berdaftar ‘Bersatu’ Kg.Maringkan turut dibantu dan diperhatikan Staf serta Sukarelawan dari Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau.
Terdahulu, mantan Pengerusi JPKK Kg.Maringkan, Sius@Gilbert Bin Babia dalam ucapannya mewakili warga kampungnya, merakam penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Datuk Jonathan bersama rombongannya ke majlis tersebut yang julungkali diadakan itu.
Sius mewakili penduduk Kg.Maringkan merakam penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Jonathan yang prihatin menyediakan dana membiayai kos pembinaan bangunan TADIKA, penyelanggaraan jalan ke kawasan pertanian penduduk dan kesediaan Jonathan membantu membaiki jalan menuju Gereja RC Kg.Maringkan.
” Datuk Jonathan adalah pemimpin yang benar-benar ‘Pemimpin Prihatin’ dan Pejuang Rakyat”, tegas Sius sambil berterima kasih juga kepada Jonathan kerana menghulurkan sumbangan seikhlas hati kepada warga emas dan kanak-kanak pada majlis itu yang dihadiri lebih 80 orang penduduk.
Turut hadir dan berucap ialah, Lajim Haji Mumin setia Usaha Sulit (SUS) kpd Datuk Jonathan.