GAMBAR: SUPT. Muhamad Farid Ahmad
LABUAN: Seorang wanita yang bekerja sebagai Pengurus Akaun kerugian RM67,700 menjadi mangsa penipuan sindiket ‘Macau Scam’ yang mendakwa terdapat individu lain telah menggunakan identiti mangsa untuk membuat permohonan kad kredit.
Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, wanita berusia 40 an itu telah membuat laporan polis apabila mendapati wang simpanannya telah dipindah ke akaun lain yang tidak dikenali selepas mengikut arahan oleh tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai bank HSBC, pegawai Bank Negara dan Pegawai Kanan Polis untuk melakukan siasatan.
“Menurut mangsa pada 4 Jun lepas kira-kira jam 12.30 tengah hari tiga lelaki yang tidak dikenali telah membuat panggilan telefon mengaku sebagai pegawai bank HSBC, pegawai Bank Negara dan pegawai kanan polis yang memaklumkan identiti mangsa telah digunakan oleh individu lain untuk membuat permohonan kad kredit” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Jelasnya, mangsa telah diminta memberikan butiran peribadi termasuk nombor akaun, kata laluan dan ID akaun bagi membantu mengemaskini akaun mangsa.
Bagaiamana pun katanya, setelah maklumat akaun diberikan, mangsa mendapati wang berjumlah RM67,700 telah dipindahkan ke akaun lain yang tidak dikenali dan selepas terasa dirinya ditipu mangsa telah membuat laporan polis.
“Kes disiasat di bawah Sekyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat selain boleh dikenakan denda” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Farid menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada agar tidak mudah terpedaya dengan tipu muslihat sindiket sehingga panik dengan mengikut arahan daripada pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organasi yang terlibat untuk pengesahan. BDB