27 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Jun 29, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Clarice John Matha tampil dengan album terbaru ‘Rukut-Rukut’

Muka hadapan album Rukut-Rukut yang turut menampilkan artis-artis tempatan Sabah

PENYANYI lagenda Sabah yang suatu ketika dahulu dikatakan mirip dengan Siti Nurhaliza, iaitu, Clarice John Matha kini muncul Kembali dengan album terbaharu yang diberi tajuk Album ‘Rukut-Rukut’. 

Beliau yang tidak asing lagi dalam arena seni muzik tempatan, popular dengan lagu yang menjadi lagu yang sangat menambat hati pendengar seperti Adaa, Ama Om Apa, Sumandak Kinabalu dan banyak lagi. 

Clarice bukan sahaja aktif di dalam bidang seni suara tetapi juga sangat aktif di dalam bidang seni lakonan. 

Album ‘Rukut-Rukut’ (sama-sama) ini dikeluarkan sepenuhnya melalui syarikat beliau sendiri iaitu Mathaz Entertainment & Event Management dan direkodkan di Ben Studio milik salah seorang komposer terkenal Sabah, Ben Simon Bukag. 

Penyanyi-Penyanyi tempatan Sabah yang terlibat di dalam Album Rukut-Rukut ini terdiri daripada Clarice sendiri, Marlleynne Fane, Clarice Sipanul, Suzan Sabli, Manja Osman, Iziana Midung, Francis Au, Fred Joane dan juga mendiang Feraddy O Okuling. 

Kesemua lagu adalah hasil sentuhan Clarice sendiri, juga Manja Osman, Ernest Vannier Matha dan juga Jumi Antadon. 

Selain itu satu lagi karya hasil ciptaan gabungan antara Clarice dan Jumi, lagu oleh John Matha yang bertajuk ‘Jumpa Kawan Lama’ nyanyian Nereus Brandisi Matha atau lebih dikenali sebagai Yus Matha telah siap sepenuhnya pada April tahun ini. 

Lagu ini direkodkan di TJC Talent Studio yang terletak di Tenghilan, Tuaran. 

Penghasilan Album Rukut-Rukut ini mengetengahkan tiga bahasa iaitu Murut, Dusun dan juga bahasa Melayu, sementara genre lagu pula ada pelbagai genre antaranya balada, sumazau, samba, dangdut dan remix. 

“Agak lama juga album ini disiapkan atas sebab banyak kali tertunda kerana para penyanyi di dalam Album Rukut-Rukut mempunyai komitmen tugas masing-masing, tapi syukur alhamdulillah ia berjaya disiapkan dan direkodkan dan mula berkumandang di corong-corong radio tempatan seperti Sabah VFM dan Kupi-Kupi FM sejak tahun lalu lagi,” katanya. 

Clarice yang juga sangat aktif bersukan terutama sukan badminton bersama dengan rakan-rakan artis dan media yang lain mengakui bahawa album ini terhasil daripada cetusan idea apabila ada rakan artis dan sepermainan yang belum menghasilkan lagu single. 

“Di sanalah permulaan untuk Album Rukut-Rukut bermula iaitu sejak tahun 2014 lagi,” katanya ketika ditemui bersama penggiat industri seni tempatan Sabah Sylviana Viana Saiki atau lebih dikenali sebagai Vie. 

Besar harapan Clarice agar lagu hasil ciptaan beliau sendiri, Manja Osman, Ernest Vannier Matha dan Jumi Antadon memenuhi kehendak para peminat semua tidak kira di mana sahaja berada. 

Beliau percaya akan rezeki yang tertulis untuk masing-masing asal tidak pernah putus asa dan sentiasa berusaha.

“Para peminat sentiasa bertanya bila ada lagu baru, dan inilah hasilnya iaitu Album Rukut-Rukut. 

“Saya berharap agar penghasilan album ini akan memberi kepuasan kepada para peminat di luar sana, terutama sekali mereka yang menanti-nantikan sesuatu yang baharu,” katanya. 

Beliau juga berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan juga peminat yang sentiasa memberi kata perangsang dan semangat untuk beliau terus berkarya. 

“Perjalanan seorang anak seni itu memang sangat mencabar, kena sentiasa positif, peka dengan komen yang diberikan dan sentiasa berusaha memperbaiki dan menerima kekurangan diri,” ujar beliau. 

Menurut Clarice lagi, kemungkinan besar pelancaran Album Rukut-Rukut dan lagu single ‘Jumpa Kawan Lama’ oleh Yus Matha akan diadakan pada 12 Julai 2024 ini di Aramaiti Frenz yang terletak di Pintas Square, Jalan Penampang Bypass, Kepayan. 

Dengan terbitnya album ini, beliau juga berharap agar para peminat akan terus menyokong karya-karya beliau dan juga rakan-rakan artis yang lain, terutamanya karya seni tempatan Sabah. 

“Ini kerana tanpa sokongan daripada semua, seni tempatan Sabah akan terus berada di tahap yang terendah di dalam industri muzik tanah air dan juga akan hilang secara perlahan-lahan. 

“Bantulah dan sokonglah industri seni tempatan Sabah. Tanpa peminat semua siapalah kami sebagai penghibur,” itulah kata-kata akhir daripada Clarice selaku penerbit Album Rukut-Rukut. 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN