25 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 16, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Hajiji peka memperkasa wanita, ekonomi dan pendidikan: Redonah

Redonah beramah mesra bersama wakil-wakil Pergerakan Wanita

KOTA KINABALU: Kepimpinan tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah disifatkan sebagai kepimpinan yang menyeluruh dan prihatin terhadap usaha memperkasa wanita, ekonomi dan pendidikan.

Ketua Wanita Pergerakan Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri masa kini nyata membuktikan bahawa kesungguhan dalam merealisasikan apa yang dijanjikan.

“Kita tengok sendiri, Ayahanda Presiden kita, merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mentadbir kerajaan dengan membawa hala tuju yang berfokus tanpa mengenepikan aspek yang berkepentingan kepada wanita, juga ekonomi dan pendidikan.

“Sejak kerajaan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, ketika itu pertumbuhan ekonomi negatif 7.5 peratus.

“Namun setelah mentadbir, angka itu bertukar dan pada tahun 2021, ia telah meningkat 1.5 peratus, sekaligus situasi peningkatan serupa dicatatkan pada tahun 2022 dengan catatan 3.5 peratus serta bagi tahun terkini 2023 meningkat kepada empat peratus, dan tahun ini melonjak menjadi 4.5 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.

Menurut Redonah, peningkatan hasil Kerajaan Negeri sebanyak berjumlah RM5.49b pada tahun 2021 turut meningkat pada tahun 2022, menjadi RM6.96b dan RM6.97b pada tahun 2023.

Jelas Redonah lagi, peluang pekerjaan juga terbuka luas melalui kilang kibing dan kilang simen yang mana turut memberi peluang memberi peluang pekerjaan kepada lebih 2500 pemohon serta 170 orang jurutera terdiri daripada anak2 Sabah.

“Selain itu, kita dengar dan nampak usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat, melalui rumah SMJ.

“Tahun ini peruntukan sebanyak 20 buah rumah diberikan untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri dan jumlah ini akan bertambah, menjadi 40 buah rumah untuk setiap DUN pada tahun hadapan, alhamdulillah,” katanya lagi.

Redonah turut memberitahu bahawa usaha keras Kerajaan Negeri juga termasuk dengan mewujudkan pelbagai bantuan pendidikan serta biasiswa kepada pelajar anak Sabah, bantuan kos penerbangan pelajar pulang semasa perayaan sebanyak RM600 dan pengangkutan dalam negeri berjumlah RM300.

“Suka juga untuk saya fokuskan kepada semua perwakilan wanita yang hadir pada hari ini, untuk peka terhadap segala usaha Kerajaan Negeri membawa perubahan kepada rakyat.

“Sumbangkan tenaga anda melalui media sosial, komen, dan kongsikan hebahan usaha-usaha ini kepada semua pihak kerana inilah yang membuktikan kekuatan kita dalam parti, kita mendukung ketua dan pimpinan kita di atas, jelasnya.

Redonah juga berkata Kerajaan Negeri memperuntukan RM1.5 juta kepada Persatuan Wanita Negeri Sabah dan RM6.3 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) serta RM700 ribu bagi Penasihat Wanita Sabah.

“Banyak dana disalurkan melalui projek jangka pendek dan kepada persatuan-persatuan wanita, dan ini adalah bukti jelas bahawa Ketua Menteri kita mengiktiraf wanita sebagai pemangkin pembangunan negara.

“Untuk pengetahuan semua, tuntutan 30% untuk wanita sebelum ini retorik saja namun dalam Kerajaan Negeri hari ini, martabat wanita diangkat.

“Lihat, perlantikan senator wanita kita, YB Annabell Perian yang merupakan Ketua Penerangan kita dan kini mamou membawa suara kita di sana untuk didengar.

“Tambahan lagi, cadangan 30 peratus wanita diangkat untuk jawatan-jawatan dalam anak syarikat dan sebagainya, dan ini penting untuk memastikan setiap keputusan lebih holistik serta keseimbangan dalam organisasi dapat dibentuk kerana inilah yang diperlukan dalam usaha untuk mewujudkan pembangunan lebih mampan,” tambah Redonah lagi.

Mengulas lanjut soal menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, Redonah turut memberitahu bahawa siri jelajah, gerak kerja G10 dan kerjasama berpasukan dalam jentera untuk mengenalpasti pengundi luar dan dalam kawasan amat penting.

“Untuk menang besar dan terus menjadi Kerajaan Negeri, kita mesti bekerjasama dan buat betul-betul, saling bantu.

“Saya melihat usaha simulasi PRN yang diadakan oleh DUN Karanaan, menjadi inspirasi dan saya lakukan yang serupa di kawasan saya, di DUN Bandau, juga di kawasan Ketua Menteri kita di DUN Sulaman.

“Semua gerak kerja, pembahagian pengundi dan pelaksanaan program Salam Sayang kita ziarah rumah ke rumah, ini untuk kita jaga pengundi kita dan penting juga dalam tempoh bubar nanti, termasuk tempoh kempen, hingga hari mengundi, semua ini memberi gambaran jelas apa yang sewajarnya kita lakukan dalam jentera,” jelasnya.

Redonah menegaskan bahawa fokus jentera wanita masa kini adalah di kesemua bahagian adalah untuk bekerja bagi menyumbang kepada kemenangan besar bagi PRN ke-17.

“Kerja sungguh-sungguh, kita semua perlu jadi satu suara untuk rakyat Sabah.

“Cukup-cukuplah dengan apa yang sudah jadi, jangan lagi kita buka ruang untuk anasir luar ganggu negeri kita,” ujar Redonah lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN