KOTA KINABALU: Kerosakan jalanraya di kawasan Kilometer 110.40, Jalan Kota Kinabalu – Sandakan, dekat Pasaraya Sabindo Ranau, telah dikenal pasti sejak tahun lepas.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah bercadang untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan (rehabilitation works) namun tidak dapat dilaksanakan disebabkan kekangan peruntukan.
“Kerosakan jalan ini juga adalah di luar skop kerja penyenggaraan rutin. Sebagai makluman tambahan, hanya 48.37% daripada permohonan asal diperuntukkan dalam tahun 2021 untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di Negeri Sabah.
“Hujan yang berterusan menjadikan keadaan jalan raya (Potholes) ini bertambah teruk,” kata kenyataan itu yang disiarkan dalam laman rasmi Facebook JKR Sabah hari ini.
Jelas kenyataan itu lagi, kerja-kerja menampal lubang yang dilakukan oleh pihak konsesi hanya dapat dilaksanakan pada waktu malam agar tidak menggangu aliran trafik pada waktu siang memandangkan jumlah pengguna jalan raya terutamanya ketika trafik memuncak dan menjelang musim perayaan.
Terdahulu, Ketua Wiramuda STARSABAH, Kong Soon Choi dalam kenyataan media baru-baru ini berkata, keadaan jalan raya utama menghubungkan beberapa daerah di Sabah semakin membimbangkan dan bahaya kepada pengguna.
Menurut Kong, kerosakan pada permukaan jalan raya utama dibeberapa lokasi sangat bahaya kepada pengguna dan perlu pembaikan yang berkualiti.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik, ketika melawat beberapa lokasi jalan raya utama di daerah Ranau yang mengalami kerosakan (berlubang) pada Selasa memberi amaran tegas kepada syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab membuat penyelenggaraan jalan raya utama di negeri ini agar melaksanakan kerja-kerja dengan cekap.
Robert berkata semua syarikat konsesi perlu lebih bertanggungjawab kerana mereka telahpun bersetuju dengan semua terma dan syarat yang diberikan untuk melaksanakan tugas dengan berkesan.
Katanya, kerajaan telahpun membelanjakan sejumlah wang dan memberikan peluang kepada beberapa syarikat konsesi untuk mempastikan kualiti dan keselamatan jalan raya terus terjamin.
“Syarikat-syarikat konsesi yang diamanahkan perlu lebih peka dan bertanggungjawab menjaga kualiti dan segera memperbaiki kerosakan yang terdapat pada permukaan jalan yang rosak. Tidak perlu tunggu sehingga menyusahkan pengguna”. Tegasnya.
Artikel berkaitan: