API MARAK…Kelihatan angota bomba berusaha memadam api dalam kejadian di Kg.Muhibbah, di sini, awal pagi Jumaat.
RANAU: Seorang wanita warga emas maut dalam kejadian kebakaran yang melibatkan dua buah rumah di Kampung Muhibbah, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata dalam kejadian itu, mangsa dikenali Wong Ling Ying, 74, ditemui rentung oleh anggota bomba di rumah pertama.
Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 pagi berhubung kejadian itu.
“Sejurus menerima panggilan, sembilan anggota diketuai PBK II Mastin Suli, bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian kira-kira 1 kilometer dari BBP Ranau.
“Setiba di lokasi pada jam1.22 pagi, didapati dua buah rumah jenis kekal sedang terbakar.
“Bomba melakukan pemadaman dengan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ridwan, api berjaya dikawal pada jam 2.28 pagi dan mendapati rumah pertama berukuran 50’x60′ kaki telah musnah 99%, manakala rumah kedua yang berukuran 50’x50′ kaki turut terbakar dan mengalami kerosakan 50%.
Katanya lagi, dua kenderaan, iaitu sebuah Toyota Hilux turut musnah sepenuhnya dan sebuah Perodua Myvi terbakar 4% dalam insiden itu.
“Pasukan bomba kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk tindakan lanjut.
“Manakala anak mangsa berusia 48 tahun dan dua cucunya berusia sembilan tahun dan 11 tahun yang turut melecur dalam kejadian itu telah dikejarkan ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi telah ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.14 pagi. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam sisatan.