DSP.Sammy (Kanan) menyampaikan cenderamata kepada Krishina diperhatikan Asp.Lesius. -Foto oleh: Salwah Aramat
RANAU: Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau atas kerjasama sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di daerah ini.
Konsul Jeneralnya, Krishna Djelani, berkata kerjasama yang diberikan IPD Ranau kepada KJRI dalam melaksanakan program misi kemanusiaan pengagihan barangan makanan kepada warga indonesia yang terjejas disepanjang PKP, PKPB dan PKPP di sini sangat dihargai.
Katanya, KJRI sentiasa menghormati pasukan keselamatan negara ini khasnya dalam melaksanakan tanggungjawab mereka mengekang penularan wabak covid 19 dikalangan masyarakat termasuk juga dikalangan warga indonesia yang berada di daerah Ranau.
“Justeru, setiap program pengagihan bantuan barangan makanan yang dilaksanakan oleh pihaknya perlu mendapat kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa khasnya IPD Ranau.
‘’KJRI amat berterima kasih atas kerjasama yang diberikan dalam melancarkan program misi kemanusiaan kepada warga indonesia di daerah ini. kita akan terus memberikan kerjasama erat kepada pihak berkuasa bukan sahaja dalam hal ehwal penguatkuasaan perundangan, malah dalam memutuskan rantaian penularan wabak covid-19’’ katanya sempena lawatan beliau ke IPD Ranau kemarin.
Krishna dalam masa sama turut menasihatkan seluruh warga indonesia yang berada di daerah ini agar sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara ini dan tidak terjebak dengan sebarang salah laku jenayah dan dadah yang boleh mencemarkan nama baik negara dan keluarga.
Dalam hal ini, beliau sentiasa mengalu-alukan sebarang tindakan sewajarnya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ranau terhadap warga indonesia jika terkesan melakukan jenayah berkenaan.
Beliau juga mengingatkan agar mana-mana warganya yang berada di daerah Ranau untuk mempastikan mereka memiliki dokumen yang sah untuk menetap atau berkerja di sini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak KJRI atas kesudian membuat kunjungan kepada IPD Ranau. Beliau berharap dengan adanya kerjasama seumpama itu, akan lebih mengeratkan lagi persefahaman antara kedua-dua pihak pada masa akan datang.
Ketibaan Konsul Jeneral Krishna Djelani turut disertai Konsul Muda Fungsi Ekonomi, Sartono Hendrarso. hadir sama pada majlis itu ialah wakil Ketua Cawangan Khas Daerah Tanau, ASP Lesius Drunsung, Ketua Polis Balai IPD Ranau, Sub-Inspektor Abd.Manaf Mustapha serta beberapa pegawai kanan dan anggota PDRM IPD Ranau. http://Borneo Daily Bulletin