SIMBOLIK…. Simsudin (tengah bersongkok) bersama tetamu khas yang hadir memotong kek sebagai simbolik perasmian Program Perayaan Perpaduan 2023.
LABUAN: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar telah menganjurkan Program Perayaan Perpaduan 2023 melibatkan masyarakat pelbagai etnik yang diadakan di Tiara Hotel Labuan, pada malam Sabtu.
Program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Labuan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek mewakili Pengerusi Perbadanan Labuan, Tan Sri Anifah Aman.
Menurut Pengerusi Penganjur, Tan Soon Kiat, sebanyak 20 buah KRT yang terdapat di pulau ini telah menyertai program tersebut.
Tan berkata, Program Perayaan Perpaduan 2023 merupakan kesimbungan daripada Program ‘The Most Number Of Traditional Dances In A Single Event’ yang menampilkan 60 jenis tarian tanpa henti dan paling ramai penyertaan sehingga berjaya dicatatkan dalam ‘Malaysia Book Of Record pada 1 Mei 2019
Sementara itu, Simsudin berharap pelaksanaan program ini akan dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan melalui pelbagai aktiviti yang membabitkan semua kaum.
“Dengan adanya sambutan pelbagai perayaan ini, kita akan bukan sahaja dapat membina kefahaman dan rasa hormat dalam kalangan masyarakat tetapi juga memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Labuan” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program itu berlangsung yang melibatkan persembahan tarian tradisional kebudayaan masyarakat etnik seperti Kadazan, Dusun, Iban, Cina, India, dan Kadayan yang terdapat di pulau ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, Pengarah JPNIN Labuan, Esther Dingkawan dan Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Azman Sipan.