Gambar atas – Datuk Haji Faimin Kamin (tengah) memalu gong sebagai gimik perasmian penutupan kursus sambil diperhatikan Pegawai Daerah Tenom, Sungkim Rumangun dan pegawai -pegawai penyelaras
TENOM: Seramai 10 orang peserta telah mengikuti Kursus Asas Pembuatan Gong pada 25 Oktober hingga 3 November 2021, di Bengkel Pembuatan Gong Kampung Langsat, di sini.
Kursus selama 10 hari itu dianjurkan Seksyen Keusahawanan Industri Desa, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, dengan kerjasama urusetia Pejabat Daerah Tenom.
Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan Setiausaha Tetap KPLB, Datuk Haji Faimin Kamin yang juga mantan Pegawai Daerah Tenom.
Faimin dalam ucapannya berkata, kemahiran merupakan satu entiti penting yang perlu dimiliki setiap individu agar mampu bersaing dalam bidang perniagaan. Oleh itu, peluang menuntut ilmu terutamanya dalam bidang kemahiran khususnya dalam pembuatan gong menjadi kelebihan kepada para peserta-peserta kursus pada kali ini.
Datuk Haji Faimin ketika berucap merasmikan penutupan kursus di Kg. Langsat, baru-baru ini
“Selaras dengan aspirasi Kementerian untuk membantu memperbaiki serta meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar di Sabah, pihak Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan dengan memperluaskan jangkauan perkhidmatan yang lebih berkesan dan sepadan dengan norma serta kehendak masyarakat luar bandar.
“Justeru, kursus kemahiran seumpama ini adalah sebahagian usaha kementerian dalam membantu penduduk luar bandar khususnya kawasan pedalaman untuk menjana pendapatan selain melahirkan pelapis-pelapis baru yang mahir dalam pembuatan gong sekaligus mengekal, memelihara serta memartabatkan alat muzik tradisional dan kebudayaan masyarakat Sabah,” katanya.
Datuk Haji Faimin (tengah) merakam gambar bersama para peserta kursus dan penyelaras
Beliau juga berharap agar para peserta kursus menanamkan minat dalam bidang ini dan berusaha mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran asas yang telah diperolehi selain memanfaatkan bengkel yang telah dibina di daerah ini dengan tampil menjadi tenaga pengajar kepada peserta akan datang khususnya generasi muda.
“Untuk keselesaan kepada para pelatih, kementerian bersetuju untuk menaiktaraf fasiliti bangunan bengkel sedia ada di sini melibatkan pembinaan tandas, pemasangan pagar, memasang jubin pada lantai dan penambahan kipas.
“Kerjasama pihak Pejabat Daerah juga sangat diperlukan untuk memantau keadaan semasa bengkel dan pelaksanaan aktiviti yang diadakan agar sentiasa aktif dan mencapai objektif,” tambah Faimin.
Terdahulu, sepanjang Kursus Asas Pembuatan Gong berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan teknik mengukur saiz gong, memotong plat mengikut saiz yang tepat. Para peserta juga dilatih membentuk, mencantum dan menghaluskan gong.
Perkara paling kritikal dan penting adalah cara mengeluarkan bunyi gong yang dikehendaki, dimana para peserta sangat beruntung kerana dapat mempelajari kaedah yang betul.
Teknik terakhir iaitu mengecat gong menggunakan cat berwarna hitam kemudian dilapisi dengan cat berwarna keemasan untuk menghasilkan alat muzik tradisional (gong) seperti yang ada sekarang ini.. BDB