29 C
Kota Kinabalu
Rabu, November 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Laluan keluar masuk ke Pekan Ranau dan antara daerah diperketat: PDRM

OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN

RANAU: Memasuki fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula kemarin (1 April),  Polis Diraja Malaysia (PDRM) daerah ini telah bertindak memperketatkan lagi sekatan jalan raya terutama laluan keluar masuk ke pekan Ranau.

Menurut Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton, langkah itu diambil sebagai usaha  memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dari terus menular khususnya di daerah ini.

DITUTUP….Bulatan Teko

“Langkah lebih ketat terpaksa diambil apabila mendapati masih ramai masyarakat terutama penduduk di daerah ini yang tidak mahu mematuhi arahan PKP dengan memberikan pelbagai alasan.

“Antara alasan yang popular ialah hendak ke bank untuk mengeluarkan duit dan  membeli keperluan. Tetapi apa yang berlaku, mereka sengaja mengambil masa sehingga berjam-jam sambil melepak di kawasan pekan. Apabila melihat anggota polis, mereka cepat-cepat beredar,” katanya.

BULATAN DEPAN TOKONG….turut ditutup

Sehubungan itu jelas beliau, dengan tindakan menutup seterusnya menetapkan laluan keluar masuk ke pekan Ranau, akan memudahkan polis mengawal aktiviti orang ramai. Katanya, polis turut membuat semakan serta menapis  setiap individu yang ingin memasuki pekan Ranau.

“Untuk panduan orang ramai, pihak polis telah menetapkan laluan keluar masuk ke pekan Ranau seperti berikut;-

Bulatan Teko dan Bulatan Tokong telah ditutup untuk laluan masuk dan keluar ke pekan. Selepas diselaraskan semula, hanya Simpang Tiga depan sekolah St. Benedict sahaja yang dibuka untuk laluan masuk dan keluar bagi mereka yang berurusan di pekan Ranau.

“Manakala sekatan jalan raya antara daerah masih dikekalkan di lokasi sedia ada iaitu di kilometer 5, Jalan Ranau – Telupid (Simpang Lohan), kilometer 2, Jalan Ranau – Tambunan (Depan Padang Golf ) dan kilometer 19,  Jalan Ranau – Tamparuli,” jelas DSP Sammy

AKAN DIBUKA..Simpang Tiga depan sekolah St. Benedict sahaja yang akan dibuka semula untuk laluan masuk dan keluar.

Tambah beliau, sekatan jalan raya di semua lokasi termasuk laluan keluar masuk ke pekan akan berterusan 24 jam sehingga ada arahan baru berkaitan PKP.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berada di rumah dan mengawal pergerakan selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, bagi ketua isi rumah yang hendak keluar membeli barang keperluan harian dinasihatkan merancang perbelanjaan/pembelian untuk mengelakkan daripada kerap keluar rumah.

“Senaraikan barang keperluan yang hendak dibeli sebelum keluar rumah agar pergerakan dapat dihadkan untuk mengelak dari risiko jangkitan wabak selain berdepan tindakan undang-undang kerana ingkar PKP. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN