1.SIMSUDIN (tiga dari kanan) ketika merasmikan Karnival Kerjaya MADANI Labuan 2023 sambil diperhatikan Florence (dua kanan), Soripin (kanan sekali), Radzaleih (dua dari kiri) dan Rozi (kiri).
LABUAN: Lebih 500 peluang pekerjaan meliputi pelbagai bidang di tawarkan kepada pencari kerja sempena Karnival Kerjaya MADANI Labuan 2023 yang diadakan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, dekat sini, pada Sabtu.
Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Simsudin Sidek berkata, peluang pekerjaan yang ditawarkan itu melibatkan 19 majikan daripada pelbagai syarikat yang beroperasi di Labuan.
“Karnival yang dianjurkan ini merupakan usaha kerajaan yang berterusan dalam memastikan pencari kerja khususnya di Labuan mendapat peluang pekerjaan dari pelbagai sektor dan ini sekaligus menangani isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang dialami oleh rakyat berikutan pandemik COVID 19 sebelum ini”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan karnival sehari itu mewakili Pengerusi Perbadanan Labuan Senator Tan Sri Anifah Aman.
Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat PERKESO Negeri Sabah dan Pejabat PERKESO Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan.
Menurut Simsudin lagi, sejak Januari hingga Jun 2023, PERKESO Sabah melalui Cawangan Perkhidmatan Pekerjaan telah merekodkan seramai 3,372 orang di Sabah telah berjaya mendapat pekerjaan, manakala bagi Wilayah Persekutuan Labuan untuk tempoh yang sama telah merekodkan seramai 151 orang.
Simsudin berkata, Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO berperanan penting dalam melindungi pekerjaan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Inisiatif Penggajian, Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU).
“Sejak PSU 1.0 diperkenalkan bermula April 2020 sehingga PSU 5.0 telah berjaya memberikan manfaat kepada 358,158 majikan dengan melibatkan penerima seramai 2.96 juta orang pekerja di seluruh negara” katanya.
Selain itu Simsudin turut menjelaskan PERKESO juga telah melancarkan Program Daya Kerjaya yang merupakan inisiatif kewangan di bawah Belanjawan 2023 yang diberikan kepada majikan bagi permohonan pengambilan pekerjaan yang dilakukan bermula 1 Mei lalu.
“Program ini membabitkan penempatan pekerjaan bagi kumpulan sasar daripada kalangan individu/belia yang lama menganggur dan golongan mudah terjejas seperti wanita, orang kurang upaya (OKU), miskin tegar serta bekas banduan…..inisiatif ini adalah sebanyak RM600 sebulan selama 3 bulan untuk majikan yang mengambil pekerja daripada kumpulan sasar tersebut” katanya.
Hadir sama, Ketua Negeri Perkhidmatan Pekerjaan Sabah mewakili Pengarah PERKESO Sabah, Florence Blasius, Timbalan Pengurus (Operasi) MAIWP Labuan, Ustaz Mohd Radzaleih Matusin, Pengurus Pejabat PERKESO Labuan , Soripin Ripol dan Penolong Pegawai Tadbir Urus MAIWP Labuan, Mohd Rozi Ambran.