31 C
Kota Kinabalu
Rabu, Oktober 16, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pelantikan JPKKP, satu taktik kotor oleh parti tertentu: Rizkam

GAMBAR Informasi mengenai majlis penyampaian watikah bertarikh 17 Oktober 2024.

TAMPARULI: Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan Dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP), yang dilihat berbeza dengan kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) di beberapa buah kampung, dianggap satu taktik kotor oleh parti tertentu untuk memecah belahkan kepimpinan kampung sedia ada di negeri Sabah.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.14 Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin, berkata, hari ini telah tular satu senarai pelantikan JPKKP di dalam group Whatsapp, bagi kawasan Parlimen Tuaran, yang meliputi sebanyak empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, sehubungan itu juga, satu Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKKP di bawah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) itu dijangka akan dibuat pada 17 Oktober ini (Khamis) di Serambi Dungun Tuaran, jam 2.00 petang, yang akan disempurnakan oleh Ketua Umno Sabah Bahagian Tuaran, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO Malaysia, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.

Ia berdasarkan satu lagi hantaran berbeza yang menyaksikan informasi mengenai majlis penyampaian watikah berkenaan.

Katanya, atas dasar menghormati kepimpinan JKKK yang telah dipilih oleh pihak Kerajaan Negeri, Pemuda PBS Bahagian Tamparuli sangat membantah keras dan mengecam tindakan tersebut, yang mana boleh mengelirukan rakyat dan mengganggu urus tadbir kepimpinan sedia ada.

“Malah, dalam senarai yang dikeluarkan untuk kawasan Tamparuli, kita mendapati ada Pengerusi dan Setiausahanya datang dari kampung lain, tetapi menjadi Pengerusi di kampung lain.

Menurutnya, taktik sedemikian dilihat sangat ketara sebagai satu lagi langkah untuk memecah-belahkan hubungan rakyat dan pemimpin kampung mereka, malah kepimpinan di peringkat daerah dan negeri sendiri.

“Jika pihak tersebut benar-benar telus, kenapa harus membuat satu jawatankuasa kepimpinan kampung yang baharu, dan tidak pula menyalurkan sahaja peruntukan daripada pihak Persekutuan menerusi KKDW kepada Kerajaan Negeri untuk sama ada menambah elaun para pemimpin kampung sedia ada, mahu pun peruntukan pembangunan di Sabah?”soalnya tegas.

Malah, katanya, sudah terdapat surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, yang tidak mengiktiraf jawatankuasa tersebut kerana bercanggah dengan Enakmen Pentadbiran Luar Bandar (Pindaan) 2023.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa kebanyakan nama di dalam senarai terpilih itu datangnya daripada sebuah parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan negeri, dan menganggapnya sebagai taktik kotor pihak tidak bertanggungjawab yang ingin menentang kerajaan negeri Sabah.

Justeru, beliau selaku Ketua Pergerakan Pemuda PBS menuntut agar tindakan tegas diambil oleh pihak kepimpinan Daerah dan Negeri, termasuklah pemecatan kepada mana-mana kakitangan lantikan Kerajaan Negeri seperti Ketua Kampung dan seumpamanya yang menerima lantikan sebagai Pengerusi, Setiausaha, atau ahli JPKKP tersebut.

“Demikian juga dengan pemimpin PBS di peringkat cawangan yang menerima lantikan tersebut, juga perlu diambil tindakan disiplin termasuklah melucutkan jawatan sebagai ketua atau apa sahaja tugas di dalam parti yang disandang mereka,” tambahnya.

Untuk rekod, senarai Pengerusi dan Setiausaha JPKKP dalam bentuk PDF yang tular itu menyaksikan seramai 46 dari kawasan DUN Sulaman, 37 dari DUN Pantai Dalit, 29 dari DUN Tamparuli, dan 9 dari DUN Kiulu.-ATENG

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN