27 C
Kota Kinabalu
Rabu, Julai 3, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Produk Pelancongan Baharu Akan Diperbanyakkan – Hajiji

GIMIK…Hajiji (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian.

TAWAU : Kerajaan negeri kini giat merangka pelbagai projek pelancongan dalam pelbagai aspek sebagai usaha mencipta lebih banyak lagi produk pelancongan baharu di negeri ini. 


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha ini diambil bagi memperbanyakkan lagi produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada pengunjung termasuk yang berkaitan kebudayaan. 


“Seperti di Tawau, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek pelancongan seperti yang dicadangkan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) untuk membangunkan lagi sektor pelancongan di daerah ini. 


“Antaranya, membina sebuah resort baharu di Tawau Hills Park yang merangkumi chalet, laluan pejalan kaki, kolam air panas dan menempatkan Pusat Penyelidikan Tenggiling. 


“Selain itu, kerajaan melalui KEPKAS juga akan menaik taraf kemudahan seperti Jeti Tawau yang membawa pelancong dari Tawau ke Semporna.


“Hal ini adalah memandangkan Tawau merupakan pintu masuk pengunjung ke Taman Laut Tun Sakaran yang popular di Semporna yang telah merekodkan seramai 25,684 pelawat dari dalam dan luar negara dalam tempoh Januari hingga April lalu. 


“Sehingga kini, terdapat 115 kekerapan penerbangan mingguan dengan 20,200 kapasiti tempat duduk menghubungkan Tawau ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sandakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Tawau International Cultural Centre (TICC) di tapak pembinaan TICC, Sabindo, pada Sabtu. 


Hajiji berkata pembinaan TICC yang akan menjadi sebagai mercu tanda baharu di Tawau pasti akan menjadi tarikan pelancong ke daerah itu.   


“Oleh itu, pembinaan TICC tepat pada masanya dan sudah pasti apabila siap kelak, ia akan menjadi tempat penganjuran pelbagai acara kebudayaan termasuk Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT). 

“Sudah pasti dengan adanya tarikan-tarikan pelancongan baharu ini akan membantu kita mencapai sasaran 3 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” ujarnya.


Menurut Hajiji, pembinaan pusat kebudayaan berkenaan merupakan antara persiapan Tawau sebagai bandar paling dekat dengan ibu kota negara Indonesia yang akan berpindah ke Nusantara dan pastinya akan merancakkan lagi perdagangan dan pelancongan di daerah berkenaan.


“TICC yang bakal dibina merangkumi bangunan satu tingkat dua blok yang akan menjadi tempat untuk mempromosikan kebudayaan turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya dewan konvensyen yang boleh menempatkan seramai 2,000 orang, bilik seminar dan mini teater 300 orang, Galeri Seni Kebudayaan dan Muzik, gerai-gerai kraftangan dan makanan,” tambahnya lagi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Suryady Bandy, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawau, Lo Su Fui dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang. –PENERANGAN

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN