Tun Juhar (dua kanan) menyempurnakan perasmian Perayaan Hari Etnik Sabah 4.0
PENAMPANG: Projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah 2024-2025 memfokuskan sistem pangkalan data bersepadu dan dokumentasi etnik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pembangunan sistem pangkalan data itu akan digunakan untuk mengurus data-data etnik selaras agenda Pelan Pendigitalan Kerajaan Negeri Sabah.
“Data yang disasarkan antaranya ialah etnik Dusun Gana, Mangka’ak, Sungai Milian, Murut Timugon, Okolod, Turavid, Kadazan Papar, Kalabuan dan Bonggi.
“Saya berharap usaha ini akan mencapai matlamat kita khususnya untuk mengenali etnik-etnik ini dan budaya mereka.
“Projek ini antara yang dilaksanakan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dalam usaha memastikan data dan dokumentasi etnik di Sabah terus terpelihara,” katanya semasa Perayaan Hari Etnik Sabah 4.0 sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin diiringi Isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.
Tambah Hajiji, fasa pertama projek yang bermula pada tahun 2021 hingga 2023 berjaya mengumpulkan sebanyak 16 kajian melibatkan pelbagai etnik di seluruh Sabah.
“Usaha seperti ini sudah pasti membantu kita untuk memelihara dan memulihara budaya etnik-etnik yang ada dan saya dimaklumkan LKNS melakukan dokumentasi etnik dan budaya secara berterusan sejak 2008,” ujarnya pada majlis yang dihadiri lebih 100 pertubuhan dan persatuan etnik itu.
Beliau turut berharap seminar ‘Pemerkasaan Komuniti Budaya Melalui Protokol Budaya Komuniti’ yang dihadiri persatuan-persatuan etnik, persatuan pengusaha pelancongan daerah dan komuniti Rizab Biosfera Banjaran Crooker memberikan informasi baharu tentang kaedah pemuliharaan budaya bersepadu menerusi Modul Protokol Budaya Komuniti.
“Segala ilmu baharu yang diperoleh diharap akan diaplikasikan di peringkat akar umbi khususnya persatuan dan komuniti demi kelestarian budaya dan memajukan lagi industri pelancongan di negeri Sabah,” jelasnya lagi.-Penerangan-