31 C
Kota Kinabalu
Rabu, Julai 3, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

SEMAI NILAI PERPADUAN MELALUI KELUARGA: JAMES

JAMES ( ) ketika melakukan gimik perasmian Minggun Perpaduan di Paitan pada Sabtu

PAITAN: Keluarga merupakan sebahagian institusi yang terbaik dalam membawa mesej terawal tentang perpaduan kata Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

“Penerapan nilai keharmonian, kedamaian dan toleransi kepada anak-anak melalui institusi keluarga adalah penting agar nilai-nilai baik ini subur membentuk keperibadian mereka sehingga dewasa kelak.

“Sejak kecil, anak-anak harus dibentuk dengan persepsi yang baik dan betul sehingga memiliki kekebalan terhadap apa jua anasir-anasir buruk yang memecah-belah perpaduan serta keharmonian.

“Dalam hal ini, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan atau “role model” kepada anak-anak, contohnya melalui hubungan dengan jiran tetangga serta masyarakat setempat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya,” katanya.

Selain itu, katanya, ibu bapa juga perlu memberi dorongan kepada anak-anak untuk menyertai aktiviti yang dapat mengeratkan silaturahim serta mengukuhkan perpaduan seperti program Minggu Perpaduan yang sering diadakan.

James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Minggu Perpaduan 2024, Daerah Kecil Paitan yang diadakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kecil Paitan pada hari Sabtu.

“Sehubungan itu, melalui Karnival Minggu Perpaduan yang diadakan pada hari ini dengan pelbagai pengisian, sudah pasti masyarakat pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat lagi khususnya berkaitan adat dan budaya pelbagai etnik,” katanya.

Beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah, kerana telah membawa program Sambutan Minggu Perpaduan 2024 ke Daerah Kecil Paitan.

“Sesungguhnya pemilihan Paitan sebagai lokasi program seumpama ini merupakan satu penghormatan yang besar buat kami rakyat di sini, apatah lagi Paitan bakal menjadi daerah penuh tidak lama lagi.

“Saya yakin dan percaya, apabila Paitan sudah menjadi daerah penuh, sudah pasti lebih banyak program-program besar akan diadakan di daerah ini, sekaligus memberi banyak manfaat kepada rakyat Paitan terutamanya dari segi peluang-peluang ekonomi dan sebagainya,” katanya.

Karnival tersebut turut lebih meriah dengan kehadiran duta-duta perpaduan terdiri Unduk Ngadau Negeri Sabah, artis-artis tempatan Sabah dan juga penglibatan beberapa agensi yang membuat pameran dan perkhidmatan sepanjang program itu.

Tambah James oagi, sambutan Minggu Perpaduan yang diadakan menjadi platform menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira suku kaum, bangsa, budaya dan agama sekali gus menjadi tapak interaksi sosial dan mewujudkan hubungan antara etnik yang berbeza.

“Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebar-luas pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat majmuk di negara kita khususnya di Sabah.

“Kerajaan sememangnya akan sentiasa menitikberatkan soal keharmonian dan memberikan penekanan kepada aspek perpaduan dan meletakkannya sebagai asas dalam setiap dasar pembangunan yang dirangka,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, agenda perpaduan tidak seharusnya diletakkan di atas bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya masyarakat pelbagai latar belakang dan kaum perlu bersama-sama memainkan peranan masing-masing.

Sementara itu, James memberitahu bahawa, setakat ini, hanya dua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang wujud di Daerah Kecil Paitan, iaitu KRT Sugut dan KRT Pinangkau, manakala KRT yang dalam proses kelulusan adalah KRT Botition dan KRT Sungai-Sungai.

Katanya, rekod tersebut menunjukan masih banyak kampung di Paitan belum menubuhkan KRT.

“Sehubungan itu, saya mahu pemimpin-pemimpin di peringkat kampung supaya menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan masing-masing.

“Sesungguhnya kewujudan KRT di-peringkat kampung banyak memberikan manfaat kepada masyarakat setempat, sesuai dengan objektif penubuhannya iaitu melaksanakan apa jua program yang lebih kepada memupuk perpaduan di dalam Kawasan Rukun Tetangga.

“Antara fungsi dan peranan KRT ini adalah; Menjadi ejen kesatuan sesebuah masyarakat, Menangani permasalahan yang berlaku dalam masyarakat, Memastikan keselamatan antara satu sama lain terjamin, Menjadi organisasi jika masyarakat memerlukan bantuan, Menganjurkan aktiviti komuniti dan Melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab,” katanya.

Tambah James, KRT yang berdaftar juga bakal diberikan peruntukan maksimum berupa Geran Pengurusan berjumlah RM6,000 setahun untuk mengadakan program serta aktiviti berkaitan termasuk mesyuarat.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana kampung yang hendak menubuhkan KRT, boleh menghubungi terus pegawai-pegawai JPNIN untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN