30 C
Kota Kinabalu
Rabu, September 18, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Setiap individu berperanan dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara: Marutin

GAMBAR KENANGAN… Marutinn (tengah) bergambar bersama sebahagian Komuniti Madani Kampung Salarom Baru, Nabawan.

NABAWAN: Setiap individu, memainkan peranan penting dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ membawa makna mendalam untuk masyarakat hayati.

Pengerusi Komuniti Madani Kampung Salarom Baru Marutin Ansiung berkata, selaras dengan makna ‘Jiwa merdeka’ menekankan kebebasan rakyat Malaysia daripada elemen negatif, maka tiga elemen utama sering dibincangkan dalam konteks psikologi, iaitu emosi, pemikiran dan tindakan perlu diperkasakan.

Katanya, kebebasan emosi dalam kalangan penduduk amat terbatas ketika zaman penjajahan yang membangkitkan kemarahan, kekecewaan dan kesakitan emosi amat kerana kerakusan serta kekejaman penjajah.

“Pada ketika itu ramai memilih memendam emosi kerana ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan diri serta keluarga. Namun, selepas merdeka, rakyat diberi kebebasan meluahkan emosi, sama ada positif ataupun negatif” katanya.

Jelasnya, emosi positif dapat meningkatkan kesejahteraan diri dan keharmonian dalam kalangan masyarakat namun emosi negatif seperti kemarahan, kekecewaan dan kesedihan juga mempunyai tempat dalam konteks psikologi.

Katanya, jika emosi negatif dipendam terlalu lama boleh menjadi seperti gunung berapi akhirnya meletus yang membawa kesan buruk.

“Kegagalan menguruskan emosi negatif, seperti yang dapat dilihat dalam masyarakat masa kini boleh membawa kepada pelbagai isu kesihatan mental” katanya semasa berucap menangguhkan Program Jiwa Merdeka sambutan Hari Malaysia peringkat Kampung Salarom Baru anjuran Komuniti Madani Kampung Salarom Baru dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Ulu Mosopoh Nabawan dan Jabatan Penerangan Daerah Nabawan.

Hadir sama Guru Besar SK Ulu Mosopoh Kamis Ansiyung dan pemimpin-pemimpin Kampung Salarom Baru.

Oleh itu katanya, bagi membina jiwa merdeka, rakyat perlu bijak menangani dan menguruskan emosi dengan cara sihat supaya dapat memainkan peranan positif dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat.

Beliau berkata, kebebasan pemikiran adalah asas kepada pembentukan jiwa merdeka berdaya saing, namun ia bukan sesuatu yang mutlak, sebaliknya perlu berlandaskan prinsip kebenaran dan nilai murni menjadi tunjang negara.

Kebebasan pemikiran juga katanya, mewakili keupayaan rakyat menilai sesuatu isu secara terperinci dan rasional, mempertimbangkan pelbagai perspektif, termasuk baik dan buruk serta membuat keputusan berdasarkan fakta sahih dan nilai kukuh tanpa mudah dipengaruhi tekanan atau pengaruh negatif luar.

Jelasnya lagi, pemikiran merdeka juga memerlukan rakyat bersedia berfikir secara terbuka dan inovatif dalam usaha memajukan diri serta negara. Dalam konteks Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum, kebebasan pemikiran harus diterjemahkan kepada toleransi dan penghormatan terhadap kepelbagaian.

Justeru itu katanya, rakyat perlu elak membuat kesimpulan terburu-buru tidak berasas atau mempercayai sesuatu perkara tiada kepastian, seperti ahli nujum cenderung meramal sesuatu tidak pasti kesahihannya. Sebaliknya, rakyat harus berusaha mendapatkan maklumat tepat dan secukupnya sebelum membuat keputusan atau kesimpulan.

“Pemikiran terlalu rigid pula boleh menjadi penghalang kepada adaptasi menghadapi perubahan, terutama dalam era globalisasi masa kini dalam usaha membentuk jiwa merdeka.

Pada masa sama katanya, rakyat perlu berani mencabar diri keluar daripada zon selesa, terutama dalam mengharungi pelbagai cabaran mendatang yang memerlukan fleksibiliti, adaptasi dan inovasi berterusan.

Katanya, pemikiran fleksibel dan terbuka akan memastikan pemikiran rakyat terus relevan dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara.

Tambahnya, selepas beberapa dekad merdeka, negara melalui pelbagai fasa pembangunan sosial dan ekonomi, namun masih ada ruang untuk memperbaiki serta mempertingkatkan hubungan antara kaum dan memperkukuhkan perpaduan nasional.

Katanya lagi, amat penting untuk rakyat sentiasa muhasabah bagi memperkasakan pemikiran, emosi dan tindakan bagi mencapai jiwa merdeka.

“Jiwa merdeka terbina melalui kesedaran dan tanggungjawab tidak hanya dipupuk ketika sambutan kemerdekaan semata-mata, tetapi perlu menjadi sebahagian daripada budaya hidup sebagai rakyat” katanya.

Hadir sama Guru Besar SK Ulu Mosopoh Kamis Ansiyung dan pemimpin-pemimpin Kampung Salarom Baru.

Pelbagai acara pengisian program itu seperti perarakan sambutan Hari Malaysia, Kuiz Kenegaraan, pertandingan melukis dan mewarna Jalur Gemilang, persembahan lagu patriotik dan cabutan nama bertuah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN