Abidin (tengah) dan lain-lain menunjukkan tanda bagus untuk program yang diadakan itu
RANAU: Kerajaan sentiasa membuat usaha berterusan bagi membantu rakyat, khususnya mereka yang berada jauh di pedalaman, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
“Usaha para pemimpin yang dilakukan di belakang tabir sentiasa dijalankan untuk membangunkan kampung-kampung yang terpencil di kawasan ini walaupun kebanyakannya memakan masa.
“Setiap usaha hanya dilihat apabila hasilnya menjadi kenyataan dan dapat dinikmati oleh rakyat yang begitu sabar menantikan pembangunan di kawasan masing-masing.
“Sebagai contoh, satu masa dahulu Kg Ponulangon di DUN Paginatan hanya boleh dicapai setelah 3 jam berjalan kaki meredah hutan. Tetapi sekarang Kg Ponulangon sudah mempunyai akses jalanraya yang amat cantik dan kita boleh sampai kampung ini dalam masa 15 minit sahaja,” kata beliau.
Abidin menambah bahawa pembangunan seperti ini bukan dicapai dalam sekelip mata, sebaliknya telah melalui proses-proses yang berkenaan sehinggalah ia menjadi reality.
Justeru, beliau menyeru kepada rakyat di kawasan ini agar untuk terus memberi sokongan kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang setiap hari mengabulkan impian rakyat menjadi kenyataan.
Beliau yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Balairaya Kg Mindohuon baru-baru ini.
Abidin turut menyeru kepada penduduk Kg Mindohuon Lama untuk terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan GRS untuk kesinambungan pembangunan di kampung tersebut.
“Banyak rancangan pembangunan yang sudah diatur oleh kerajaan dan kita amat yakin bahawa Kerajaan GRS komited untuk membawa pembangunan kepada rakyat di Sabah, termasuk juga di DUN Paginatan.
Abidin menerima borang keahlian daripada penyokong baharu dalam acara tersebut
“Dalam empat tahun Kerajaan GRS memerintah terdapat banyak pencapaian yang rakyat Sabah banggakan, seperti hasil negeri tertinggi dalam sejarah, peningkatan KDNK 4 tahun berturut turut, bantuan tunai kepada anak-anak Sabah yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi, bantuan rumah SMJ dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berterima kasih atas kesempatan bersama sama dengan penduduk Kg Mindohuon Lama dan memberitahu bahawa kampung itu sesuai untuk pertanian kerana keadaan tanah yang subur dan berada di kawasan tanah tinggi.
Tambahnya, pewartaan Kg Mindohuon Lama sudah dibuat dan ia sudah mempunyai Ketua Kampung dan JKKKnya sendiri, dan akan usahakan supaya mini dewan dapat dibina di sini.
“Cuma pewartaan Kg Mindohuon Baru masih dalam proses dan sudah dalam perhatian pihak Pejabat Daerah.
“Kita berterima kasih kepada dua agensi kerajaan iaitu LIGS dan MPOB kerana membantu menyelenggara jalan akses ke kg Mindahuon Lama,” katanya.
Dalam majlis tersebut Abidin sempat menerima borang keahlian daripada 57 pemohon baru menjadi ahlu Parti StarSabah.
Beliau mengalu-alukan kemasukan ahli baru Parti StarSabah dan mengucapkan terima kasih kerana memilih Parti Star sebagai wadah perjuangan dalam politik mereka.
“Pilihan kamu ada lah tepat kerana Parti StarSabah memang dari dahulu mempunyai rekod yang cemerlang dalam memperjuangkan hak-hak Sabah melalui MA63.
“Kekuatan Parti StarSabah di Paginatan adalah juga kekuatan GRS. Kita akan terus perkuatkan Parti StarSabah untuk memperkuatkan Kerajaan GRS di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Mindahuon Lama, Leno Ikun berterima kasih kepada Datuk Abidin Madingkir dan rombongan beliau, dan juga kepada agensi kerajaan iaitu LIGS dan MPOB.
Turut hadir, PPM Paginatan, Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, KAN Dualis Porodtong, Ketua Wiranita Paginatan, Siti Nurjana Abas, Ketua Wiramuda Paginatan, Hillary Salmoen dan lain-lain.