JONATHAN YASIN (tengah) diiringi DSP Sammy (kelima kanan), pegawai kanan polis IPD Ranau dan tetamu lain ketika upacara memotong kek..
RANAU: Warga Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang beragama Kristian dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau telah mengadakan upacara sembahyang khas sempena Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun di Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Pekan Ranau pada Ahad.
Dalam upacara itu, seramai 45 orang yang diketuai oleh DSP Sammy Newton, Ketua Polis Daerah Ranau serta barisan Pegawai Kanan dan Anggotanya telah bersama-sama para jemaat Gereja SIB Pekan Ranau menunaikan upacara sembahyang berkenaan mengikut SOP yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, Sammy ketika menyampaikan ucapan menyatakan, upacara sembahyang sempena Peringatan Hari Polis Ke- 214 tahun merupakan acara tradisi PDRM bukan sahaja membabitkan agama Kristian, bahkan semua agama lain. Menerusi amalan itu, para Pegawai dan Anggota PDRM akan dapat menerapkan aktiviti kerohanian dalam diri mereka termasuk menterjemahkan slogan “Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada”.
TURUT HADIR….Jonathan Yasin, Timbalan Menteri Dalam Negeri
“Saya bersama seluruh warga PDRM IPD Ranau turut berterima kasih kepada semua AJK pentadbiran Gereja SIB Pekan Ranau kerana memberikan kerjasama kepada kami untuk sama-sama menjayakan majlis ini”, jelasnya.
Sementara itu, pihak gereja yang diwakili oleh Pastor Juhirin Kantis turut memuji usaha PDRM yang sentiasa komited dalam penugasan memutuskan rantaian Covid-19 bukan sahaja disekitar Daerah Ranau, malah seluruh negara.
Tegasnya, melalui usaha itu, rakyat berasa lebih selamat dan beliau turut menasihatkan agar umat gereja terus memberikan kerjasama padu kepada pihak PDRM dalam mempastikan keselamatan sejagat terus terpelihara.
“Kadang kala saya turut berdukacita apabila saban hari ada pihak tidak bertanggungjawab memperlekehkan tugas dan peranan pihak PDRM. Ada yang sampai hati memviralkan kenyataan tidak berhemah dengan tuduhan tidak berasas kepada mereka. Kita seharusnya bersyukur kerana anggota keselamatan begitu komited menjaga keselamatan kita semua tanpa mengira cuaca panas atau hujan lebat”, tegasnya.
DSP SAMMY (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil pemimpin gereja SIB Pekan Ranau, sambil diperhatikan yang lain.
Pengisian program turut diselitkan dengan penyampaian sumbangan berupa barangan makanan kepada pihak gereja, penyampaian cendera kenangan, pemotongan kek Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun serta jamuan ringkas bersama AJK Gereja.
Turut hadir dalam upacara sembahyang tersebut adalah Jonathan Yassin yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Ranau.